Waktu hujung-hujung minggu, biasanya kita
yang sibuk dengan kerja-kerja di pejabat tu, amatlah teringin untuk
berehat dengan erti kata rehat yang sebenar-benarnya. Seperti relax
membaca akhbar, majalah-majalah dan bersantai di kerusi empuk tu
bermandikan cahaya sinaran TV yang akan dibuka dari 7.00 pagi sampailah
ke 11.00 malamnya. Kalau boleh tak mahu langsung membuat kerja-kerja
yang memenatkan sama ada otak maupun otot-otot ni. Jadi dengan niat yang
telah kita lafazkan di dalam hati tu sejak awal-awal pagi lagi, maka
segala otot-otot kita pun turut menerima arahan otak tu dan terus
mengendurkan dirinya dan ingin saja berehat bersama-sama dengan anggota
badan kita yang lain. Maka tenggelamlah kita di dalam empukan sofa
“malas” kita tu hingga ke waktu yang ditentukan oleh kita sendiri.
Anak-anak yang kecil-kecil yang masih
mahu bermanja lagi dengan kita akan mengambil kesempatan ini untuk
menguasai kita dengan memanjat di belakang dan sampai naik ke atas
kepala kita laksana “King Kong” menguasai Tower tertinggi di New York
tu. Kita relakan anak-anak itu berkingkong ke atas kita kerana inilah
sahaja masa untuk kita bermesra dengan mereka. Malah, memang pada hujung
minggu inilah anak-anak kita itu menantikan-nantikan waktu ayah mereka
duduk berehat di atas sofa kegemaran kita tu. Mereka merasakan inilah
peluang mereka untuk mengetuk, mencekik, memanjat dan malah
mengencingkan air kecil mereka ke atas riba kita. Maka seronoklah mereka
dan kita. Kita biarkan mereka berbuat apa saja ke atas kita asalkan
mereka tidak mengarah atau menyuruh kita buat kerja-kerja yang memerah
otot-otot kita.
Lain pula dengan isteri kita. Peluang hujung
minggu ni lah nak suruh abangnya tinggikan sikit gambar permandangan
yang baru dibeli, sebab rendah sangat nanti orang tak nampak. Sapu
sawang pada siling yang tinggi tu sebab nampak huduh macam rumah tak
bertuan. Gosok sikit lantai mosaik di bilik air tu sebab nampak hitam
berlumut, nanti malu kalau orang datang nak guna bilik air tu. Nak ubah
katil “king size” tu ke sebelah kanan bilik, sebab dah jemu dengan
kedudukan yang sedia ada ni dan macam-macam lagi agendanya yang sentiasa
kreatif dan inovatif itu.
Maka apabila dia lihat sahaja kita sedang
terbaring menghadap TV atau sedang membaca akhbar atau majalah tu
selepas menjamah sarapan pagi, dia akan berkata,
“Lantai di bilik air tu kotor lah bang, mengapa abang tak cuci lagi, nanti orang datang rumah kita, malulah kita bang!. Atau “Abang, gambar tu abang pasang rendahlah bang, nanti tak nampaklah, tak cantik, rugi aje beli gambar lawa-lawa tapi tak nampak. Tinggikannya sikit bang!” Atau mana-mana isteri yang berani sikit tu atau yang rasa ada kuasa sikit tu akan berkata, “Abang ni sama aje macam budak-budak tu, tiap hari minggu mengadap TV tak habis-habis, tu hah, sawang dah naik hitam kat siling atas kepala awak tu, tolonglah Yah, Yah tak sampai nak cuci tu, tinggi sangat”.
“Lantai di bilik air tu kotor lah bang, mengapa abang tak cuci lagi, nanti orang datang rumah kita, malulah kita bang!. Atau “Abang, gambar tu abang pasang rendahlah bang, nanti tak nampaklah, tak cantik, rugi aje beli gambar lawa-lawa tapi tak nampak. Tinggikannya sikit bang!” Atau mana-mana isteri yang berani sikit tu atau yang rasa ada kuasa sikit tu akan berkata, “Abang ni sama aje macam budak-budak tu, tiap hari minggu mengadap TV tak habis-habis, tu hah, sawang dah naik hitam kat siling atas kepala awak tu, tolonglah Yah, Yah tak sampai nak cuci tu, tinggi sangat”.
Maka kita pun rasa tergugat dengan
serangan-serangan pagi dari isteri kita tu. Sebab memang kita tidak
bersedia untuk membuat apa-apa malah apa lagi untuk menangkis serangan
tersebut. Jika difikirkan alasan isteri itupun ada benarnya, tetapi hati
kita tetap tidak setuju dengannya.
Mulalah kita mencari alasan-alasan
yang munasabah untuk menangkis serangan isteri tadi atau mencari “bom
tangan” yang dapat mengalahkannya secepat mungkin agar keselamatan “awam
kita” terjamin untuk pagi itu. Jawapan kita kadang-kadang begini,
” Alahai, nanti abang buatlah” “Abang
letihlah, panggil tukang gambarlah untuk repair, nanti abang bayar”.
“Takkan tak boleh sampai, ambil buluh, sambunglah dengan batang sapu
sawang tu, kalau hendak seribu daya tak hendak seribu dalih”.
Harapan kita agar isteri akan puas dengan
jawapan kita. Tetapi sebaliknya, serangannya bertambah bertalu-talu
menggunakan meriam penangkis kapal terbang pula. Hujahnya bertambah
logik berserta dengan sejarah-sejarah silam yang kita pernah berjanji
tetapi tidak kita laksanakan. Akhirnya niat kita untuk berehat telah
bertukar menjadi gelanggang berentap memenangkan objektif masing-masing
di pagi hujung minggu.
Mengapa boleh terjadi demikian? Mari kita selami puncanya.
Kita dan isteri kita banyak menggunakan
bahasa “awak” dari bahasa “saya”. Ini yang menyebabkan kita seolah-olah
serang menyerang semasa kita berkomunikasi. Jika kita dan isteri kita
menggunakan bahasa “saya”, pasti komunikasinya itu akan boleh diterima
dengan baik oleh kita dan dia.
Contoh:
Bahasa “awak” yang dia gunakan tadi: “Lantai di bilik air tu kotor lah bang, mengapa awak tak cuci lagi, nanti orang datang rumah kita, malulah kita bang!.
Bahasa “saya” yang sepatut digunakannya:
“Saya nampak lantai bilik air tu tak berapa cantiklah, Saya sukalah kalau boleh dicuci sikit. Nanti kalau orang datang, hati Saya seronok kalau orang tu pakai bilik yang bersih.”
Isteri ini langsung tidak menggunakan “abang”
tetapi lebih membahasakan dirinya dalam saranannya ini. Bukankah ianya
lebih lembut dan tidak menyerang suaminya. Tentu sekali suaminya boleh
menerika kenyataannya ini.
Satu lagi contoh bahasa “awak”:
“Abang, gambar tu awak pasang rendahlah, nanti tak nampaklah, tak cantik, rugi aje beli gambar lawa-lawa tapi tak nampak. Tinggikannya sikit bang!”
Bahasa “saya” yang sepatut digunakan:
“Saya sukalah kalau gambar tu dinaikkan sikit, baru nampak serinya, ya tak bang?”
Jadi, jika suami-suami yang saya hormati ini
telah memahami pendekatan bahasa “saya” ini, maka sampaikanlah kepada
isteri saudara dan saudara juga hendaklah mengamalkannya. Yakinlah, kita
akan dapat menikmati kerehatan yang sebenarnya bukan hanya dihujung
minggu malah setiap masa jika kita mengamalkan bahasa “saya” ini.
Selamat mencuba.
credit to : Pak Utih
Best sharing ni..
ReplyDelete